Teater Mono “Jalan Menuju Akhirat”: Garapan Spiritual Kasual yang Menggugah Jiwa Penonton

Teater Mono “Jalan Menuju Akhirat” tampil sebagai sebuah pementasan berunsur spiritual yang berjaya menyeimbangkan tema berat dengan pendekatan kasual, bergaya dan tidak kosong.

Walaupun genre spiritual sering dianggap mencabar untuk dipersembahkan tanpa jatuh ke arah khutbah atau retorik berlebihan, produksi yang diketuai oleh pengarah Roslee Mansur ini membuktikan bahawa teater boleh menjadi medium refleksi yang halus, jujur dan dekat dengan jiwa penonton.

Melalui struktur teater mono, penonton dibawa menyelami fragmen memori, konflik batin dan dialog introspektif yang menyentuh persoalan empati, kesedaran diri serta perjalanan hidup menuju akhirat.

Pementasan ini tidak menawarkan jawapan mutlak, sebaliknya mengajak penonton berfikir tentang satu persoalan besar yang sering terpendam: adakah takdir itu pilihan, atau suatu ketetapan yang tidak dapat dielakkan? Pendekatan ini menjadikan pengalaman menonton bersifat peribadi dan reflektif.

Dari segi bahasa visual, produksi ini memilih pendekatan minimalis dengan set, prop dan kostum yang sederhana. Namun kesederhanaan tersebut tidak mengurangkan kekuatan pementasan.

Sebaliknya, ia memberi ruang sepenuhnya kepada teks dan lakonan untuk menjadi nadi utama. Kehadiran beberapa aktivis teater senior Sabah seperti Karim Ghulam, Datuk Ismaily Bungsu, Ramli AR dan Mansur Sarail, serta pengarah dan pelakon filem Syurga Dalam Botol, Ebi Kornelis, turut menghidupkan suasana dan memberi nilai nostalgia kepada dunia teater tempatan.

Teater mono ini dipersembahkan melalui empat segmen monolog iaitu SIRNA, NERAKA, MADANI dan KUDUS. Setiap segmen berdiri dengan struktur naratif dan fokus watak tersendiri, namun semuanya berpaut pada tema besar “Jalan Menuju Akhirat” yang digarap bukan melalui simbol kejayaan atau ruang ibadat semata-mata, tetapi melalui ruang dalaman diri dan pertembungan dengan takdir hidup.

Segmen pembukaan SIRNA menampilkan Anip Latip sebagai Halim, seorang bekas jutawan yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Watak ini dibina dengan konsisten melalui lakonan yang terkawal, bersahaja dan stabil dari segi emosi. Tanpa perlu melodrama, Halim hadir sebagai seorang manusia yang kelihatan telah berdamai dengan takdirnya.

Segmen kedua, NERAKA, menyaksikan Roslee Mansur Al-Gemasi membawakan watak Salim, seorang pelarian Rohingya.

Lakonan beliau digerakkan oleh kejujuran emosi dan ketepatan vokal, termasuk penggunaan pelat Rohingya yang meyakinkan serta berfungsi menyokong psikologi watak. Sisipan komedi kecil berjaya mengimbangi berat naratif trauma tanpa menjejaskan empati penonton.

Dalam segmen MADANI, Aloeng Silalahi membawakan watak Nasir, seorang suami dan ayah yang runtuh akibat sifat panas baran. Lakonan Aloeng menonjol melalui kekuatan inner action, kawalan tempo dan peralihan emosi yang berperingkat. Kejatuhan moral watak Nasir terasa lebih manusiawi, menyakitkan dan realistik untuk ditonton.

Pementasan ditutup dengan segmen KUDUS, menampilkan Athilla D’hun sebagai Mona. Sebagai satu-satunya pelakon wanita, Athilla mempamerkan disiplin lakonan yang matang dengan keupayaan meneroka psikologi dan latar belakang watak secara mendalam.

Kawalan emosi yang terukur menjadikan trauma watak Mona hadir dengan kesan batin yang kuat sebagai penutup keseluruhan persembahan.

Secara keseluruhan, keempat-empat pelakon tidak sekadar mempamerkan emosi, tetapi benar-benar menghadirkannya. Penggunaan audience entrance sebagai teknik kemunculan pelakon turut berfungsi sebagai keputusan dramatik yang bermakna, menjadikan perjalanan watak terasa bermula dari dunia nyata sebelum memasuki ruang pementasan.

Pementasan ini wajar dipuji sebagai sebuah karya teater yang bernilai, jujur dan relevan dengan realiti kehidupan.

Ramli Carlo

Ramli Carlo ialah wartawan bebas yang berpengalaman dalam bidang penulisan, analisis dan media digital dengan gaya laporannya yang neutral, berfakta dan berpaksikan integriti kewartawanan, dengan fokus terhadap politik negeri, pembangunan masyarakat, serta isu sosial dan budaya Sabah.

Portal Anak Sabah

Portal Anak Sabah ialah platform digital yang menghimpunkan berita dan informasi dari Sabah, Borneo, Malaysia serta dunia, dengan pendekatan “Perspektif Anak Sabah” — cara pandang yang berteraskan realiti, nilai dan suara rakyat Sabah dalam memahami isu semasa, mencorak wacana, dan meraikan identiti negeri di bawah bayu.

Portal Anak Sabah © 2025. Hakcipta Dipelihara