PITAS – Program Mandat Kepada GRS – Masa Depan Pitas di Dewan Terbuka Salimpodon Laut menarik perhatian ramai selepas ratusan ahli PKDM dan Warisan mengisytiharkan penyertaan rasmi mereka ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perkembangan ini berlaku hanya dua hari sebelum hari pengundian PRU Sabah Ke-17, sekali gus memberi isyarat perubahan arus sokongan di DUN N.03 Pitas.
Majlis tersebut menyaksikan kumpulan ahli baharu menyerahkan borang keahlian kepada wakil kepimpinan GRS dalam suasana yang cukup meriah.
Tindakan mereka dikatakan berpunca daripada rasa kecewa terhadap parti lama yang dilihat gagal mengemukakan manifesto jelas, selain tidak mempunyai pelan pembangunan khusus untuk Pitas.
Ramai menyatakan mereka memilih untuk bersama GRS kerana percaya kepada rekod kerja serta hala tuju lebih stabil.
Dalam program itu, penduduk Salimpodon Laut dan kampung sekitar hadir memberikan sokongan kepada calon GRS, Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah.
Orang ramai membawa bendera GRS dan melaungkan sokongan sebagai tanda keyakinan bahawa gabungan tersebut mampu meneruskan pembangunan yang telah bermula sejak lima tahun lalu.
Antara yang sering disebut oleh masyarakat termasuk usaha meningkatkan infrastruktur kampung, bantuan kebajikan, program pesakit luar dan kecemasan, sumbangan rumah ibadat serta penubuhan Agrobank sebagai bank pertama di Pitas.
Kemasukan ratusan ahli baharu daripada PKDM dan Warisan ini turut dilihat memperkukuh kekuatan jentera GRS dalam saingan enam penjuru.
Undi pembangkang dijangka berpecah antara Warisan, BN, KDM, PIS dan calon bebas, manakala GRS menunjukkan konsistensi dari segi sokongan akar umbi serta pergerakan kempen yang lebih tersusun.
Hal ini menjadikan GRS berada dalam kedudukan lebih kukuh menjelang hari pengundian.
Dari sudut pemerhatian di lapangan, penyertaan ahli parti lawan ke GRS dalam jumlah yang besar bukan sekadar perubahan keahlian, tetapi mencerminkan perubahan keyakinan.
Pengundi luar bandar di Pitas biasanya menilai calon berdasarkan rekod kerja dan sumbangan yang telah dilihat sendiri dalam kehidupan seharian mereka.
Oleh itu, kemasukan ratusan ahli PKDM dan Warisan pada saat akhir kempen menunjukkan bahawa faktor rekod perkhidmatan lebih dominan berbanding sentimen parti.
Arus sokongan ini memberi petanda bahawa GRS berada dalam posisi yang semakin meyakinkan untuk mempertahankan kerusi N.03 Pitas.









